SUARA SAHIH DAN BERANI AKAR UMBI
SUARA SAHIH DAN BERANI AKAR UMBI.

Halaman

FEATURED POSTS

SEJARAH KUALA KURAU, kampungku

Jumaat, Mac 06, 2009 | | Labels: ,





M
ukim Kuala Kurau adalah salah satu daripada 8 buah mukim dalam Daerah Kerian. Terletak di sebelah barat daerah Kerian iaitu di bahagian pantai menghadap ke Selat Melaka. Ianya bersempadan dengan Mukim Parit Buntar (Pekan Jalan Baru) dan mukim Tanjung Piandang (Pt. Telok Pial & Pt. Tok Hin) di sebelah utara. Bersempadan dengan mukim Bagan Serai (Pt. Sg Dungun) di sebelah timur. Bersempadan dengan mukim Selinsing (Sungai Gula) di sebelah selatan. Bersempadan dengan Selat Melaka di sebelah baratnya.

Sejarah

Setakat ini belum dapat dikesan tarikh sebenar Kuala Kurau dibuka. Namun berdasarkan kepada ingatan orang tua-tua diyakini bahawa ia dibuka sekitar tahun 1800-an dahulu. Bermula daripada beberapa keluarga orang melayu Perak meneroka kawasan Kuala Kurau untuk bersawah dan menangkap ikan, maka sejak itu dari sehari ke sehari Kuala Kurau diteroka dan di banjiri pendatang dari pelbagai tempat dan kaum.

Pada zaman penjajahan Inggeris, Kuala Kurau dan sekitarnya diteroka dengan pesatnya untuk dijadikan ladang kelapa dan tebu. Orang-orang India di bawa masuk untuk bekerja di ladang dan orang-orang Cina datang membuka perniagaan dan perdagangan. Kuala Kurau semakin maju sehingga penjajah Inggeris menjadikannya sebagai sebuah pelabuhan import dan eksport yang lengkap dengan pejabat dan pegawai-pegawai kastamnya (Jabatan Shahbandar, Kuala Kurau).

Terbitnya nama Kuala Kurau adalah gabungan daripada dua perkataan iaitu KUALA kerana kedudukannya di Kuala (muara) sungai dan KURAU nama jenis (Ikan Kurau) yang termasyhur dan amat banyak terdapat dalam sungai tersebut di masa itu.

Bentuk Muka Bumi & Tanah

Bentuk fizikal muka bumi mukim Kuala Kurau adalah datar dan rendah. Tidak terdapat langsung bukit-bukau atau kawasan tanah tinggi. Di setengah-setengah bahagian kedudukan muka buminya lebih rendah daripada paras laut. Dengan sebab itulah kawasan tanahnya adalah amat sesuai ditanam dengan padi dan sebagainya.

Sebahagian besar kandungan tanahnya terdiri daripada Tanah Lanar berasal dari laut iaitu sejenis yang melekat berwarna coklat menutupi tanah-tanih (subsoil) tanah liat yang berwarna hijau/kelabu. Semua tanah di mukim ini sesuai untuk tanaman padi dan usaha mempertingkatkan hasil pengeluarannya sehingga mencapai 5 tan metrik bagi satu hektar sedang giat dilaksanakan dengan menumpukan dan memperbaiki khususnya mengenai pengurusan air dan teknik pengurusan tanaman oleh pihak KSM, Pertanian dan JPS.

Iklim

Mukim Kuala Kurau mempunyai iklim tropika yang lembap (humid tropical climate) yang mempunyai sukatan hujan yang boleh dikatakan tinggi dan perbezaan tempoh terang yang kecil. Hitung panjang bagi setahun hampir 2,500 mm (97 inci) dan sukatan yang tertinggi yang didapati dalam bulan April dan Oktober/November dan kurang dalam bulan Januari/Februari dan daripada Jun-Ogos.

Sungguhpun purata sukatan hujan setiap bulan adalah lebih daripada 50% (65% daripada bulan Februari) oleh kerana perbezaan yang tinggi, air tambahan diperlukan bagi kedua-kedua musim tanaman bagi memastikan operasi pertanian dapat dijalankan mengikut masa yang betul serta meninggikan dan kekerapan tanaman. Sebaliknya biasa di dapati hujan turun berlebihan dan tidak sesuai untuk pertumbuhan padi yang optimum.

Keluasan
Luas keseluruhan mukim Kuala Kurau ialah 45 batu persegi, atau 28,520 ekar (11,709.5 ha) mengandungi 12 buah kampung induk. Di tengah-tengah mukim ini mengalir Sungai Kurau sepanjang 16 km yang membelah mukim ini kepada dua bahagian (utara dan selatan) yang hampir sama keluasannya. Di bahagian utara mengandungi 11 buah kampung manakala di sebelah selatannya mengandungi sebuah kampung sahaja iaitu Kampung Kuala Gula.

PENTADBIRAN MUKIM KUALA KURAU

Mukim Kuala Kurau di tadbirkan oleh seorang penghulu dan seorang kerani penghulu, 12 orang ketua kampung dan 168 ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK). Pejabat penghulu mukim Kuala Kurau terletak di Jalan Besar, Pekan Kuala Kurau yang merupakan sebuah agensi kerajaan negeri yang berfungsi sebagai pentadbir mukim Kuala Kurau, khususnya bagi PEMBANGUNAN dan PEMODENAN sektor luar bandar dengan tumpuan utama ke arah membawa peningkatan terhadap kesejahteraan EKONOMI dan SOSIAL penduduk-penduduk luar Bandar.

Di samping itu juga, ia dapat mewujudkan masyarakat luar Bandar yang berdaya tahan, berinisiatif, berilmu dan memiliki nilai etika moral yang murni sejajar dengan hasrat wawasan 2020 yang mana masyarakat itu dapat menikmati tingkat kesejahteraan dan kualiti kehidupan yang lebih sempurna
View Larger Map



3 komen:

Tanpa Nama berkata...

bagus info ni... sambil2 kenang sejarah kite...

akujamal berkata...

Kuala Kurau terkenal dengan Produk - produk perikanan seperti Belacan .Ikan semilang segar mudah didapati di sini

jamal abdullah berkata...

itu betul...saya setuju contohnya ikan sembilang , kerang dan juga belacan